Fahmi Fadzil is a performer and writer. He is a member of arts collective Five Arts Centre, experimentation group Projek Wayang, and partner at multi-disciplinary design studio Bright Lights At Midnight. He also hosts The Fairly Current Show on PopTeeVee.

Si Bangau dan Sang Ular

NOV 28 — Pada Hari Raya Korban (atau Eidul Adha) yang baru berlalu, saya dan keluarga sempat pulang ke kampung ayah saya di Kuala Pilah. Bagi saya, Eidul Adha yang selalunya disambut ala kadar berbanding Eidul Fitri memberi peluang menziarah sanak saudara dan meringankan beban bahu yang memikul tugasan di Kuala Lumpur.

Kali ini, dapat juga saya merasa highway terbaru yang memintas Bukit Putus, memendekkan perjalanan dari Seremban ke Seri Menanti lebih kurang 20 minit (tapi Key Performance Indicatornya yang sebenar adalah pada waktu raya yang akan datang!).

Dalam menikmati pemandangan sawah padi (terbiar) dipenuhi bangau sejurus selepas Seri Menanti, ayah saya sempat menyanyikan semula lagu rakyat “Bangau, oh Bangau” dan kami sekeluarga sibuk mengingat kembali sarikata lagu itu. Mentang-mentang dah lama tak nyanyi.

“Bangau, oh Bangau, kenapa engkau kurus? / Macam mana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul” Begitulah mulanya lagu itu, kan? Ayah saya, walaupun suara tidak semerdu Jamal Abdilah, dengan semangat menyanyikan bait-bait seterusnya tanpa mengambil peduli tanggapan khalayak dalam kereta kami.

Dia sempat mengungkit masalah yang timbul dalam lagu ini: Semuanya nak salahkan orang lain. Bangau salahkan ikan, yang salahkan air cetek, yang salahkan seterusnya... hinggalah sampai ke ular, yang disalahkan kerana mahu makan katak (yang bertanggungjawab memanggil hujan... dan seterusnya).

Tamatnya lagu rakyat ini bila ular menjelaskan tanpa bersikap romantis mengapa ia mahu makan katak: “Dah itu makanan aku!”

Lagu-lagu rakyat dan kias bidalan bahasa kita memang penuh pengajaran. Lagu mudah ini, bagi saya, turut sarat dengan perkara dan pandangan yang boleh kita amati.

Mengapa lagu itu tamat bila tiba ke giliran sang ular?

Mungkin dari satu sudut, ular sebagai haiwan pemangsa yang efisien harus makan, yakni membunuh haiwan lain untuk terus hidup. Pembunuhan dalam erti ini 'buruk' tapi 'harus' – watak katak yang telah diberi 'suara manusia' yang kita kenali tadi (comelnya), harus mati agar ular itu hidup (boo!) – dan ini agak sukar kita terima, bukan? Pada masa yang sama, ular ini 'menamatkan' lagu ini...

Berbalik pada ayat yang dikeluarkan sang ular: dengan sungguh brutalnya ular itu bercakap benar, tanpa berlapik berkias, yang untuk terus hidup maka katak itu harus dibaham! Adakah ia menunjukkan yang hidup ini ada perkara-perkara 'buruk'; yang harus dilakukan untuk terus wujud? Mungkin, tapi dalam lagu ini sang ular tidak berkata yang ia mahu makan haiwan lain – kerbau, ikan, bangau – menunjukkan ia tidak rakus. Maka setiap yang 'buruk' itu harus dilakukan dengan batas.

Dari sudut pandang yang lain, ular itu – satu petanda archetype ilmu dan kehidupan/kematian insaniah – juga menunjukkan yang kitaran “ini bukan pasal saya/ini salah orang lain” harus berhenti akhirnya.

Apakah mungkin sang ular cuba dengan selamba mengingatkan kita supaya bertanggungjawab ke atas situasi kita sendiri, dan cuba jangan salahkan orang lain?

Bila kita renungi situasi-situasi mutakhir di Malaysia, ramai yang mungkin terfikir: Mengapa belum ada pihak yang dipertanggungjawab ke atas tanah runtuh di Bukit Antarabangsa tahun lalu, jambatan runtuh di Perak, skandal PKFZ? Seperti si bangau, tiada jawapan telus, cuma menyalahkan orang lain atau berselindung sebalik OSA...

Malaysia sudah dipenuhi bangau-bangau dan entiti sewaktu dengannya yang belum mahu menamatkan kitaran absurd ini.

Tapi, adakah kita bersedia menghadapi bicara sang ular?

 

Hari-hari Terakhir Seorang Mufti

DEC 10 - Semalam saya terbaca dalam sebuah laman web berita yang Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, telah pun menulis rencana terakhirnya sebagai Mufti dalam blognya.

Beliau enggan membaharui kontrak kerja setelah memegang jawatan tersebut selama dua tahun dan sebulan.

Saya terus mencari rencana yang dimaksudkan itu, yang bagi saya amat pedih untuk dibaca. Ini kerana ia seperti potret wajah seseorang yang telah cuba sedaya upaya dan, walaupun tak gagal, sering ditentang dengan harapan yang dia gagal.

Read more...

Ini bukan satu review

DEC 4 — Sabtu lalu saya sempat tonton Muallaf, filem terbaru Yasmin Ahmad, di sebuah pawagam di negara jiran kita, Singapura. Sebenarnya saya bukan ke sana semata-mata untuk tonton filem, tapi saya ada terima emel menyebut filem itu dimainkan waktu itu. (Oh ya, harap maklum: ini bukan satu film review.)

Ini filem ke-lima yang ditulis dan diarah Yasmin, jadi bolehlah kita mula melihat arah tuju beliau dari segi tema, jalan cerita, pelakon, dan juga falsafah yang diguna ataupun ingin ditonjolkan melalui pembikinan filem-filemnya.

Tapi sebelum itu, mungkin sedikit reaksi terhadap filem Muallaf. Sinopsis cerita: Muallaf mengisahkan seorang guru, Brian (dimainkan Brian Yap, yang turut menulis untuk The Malaysian Insider!), yang hidupnya bertembung dengan dua beradik, Rohani (Sharifah Amani) dan Rohana (Sharifah Aleysha), yang mempunyai sejarah hitam dalam keluarga mereka. Selama lebih kurang 80 minit kita disaji liku-liku hidup watak-watak ini, dari kegelisahan si anak terhadap orang tuanya (yang masih hidup ataupun sudah tiada; yang dekat ataupun sengaja dijauhkan), ke kegelisahan kalbu terhadap yang Maha Kuasa (yang menjadi satu kepastian, keraguan, atau sengaja ditiadakan), ke bibit-bibit hidup sehari-hari (di sekolah, di pub, di rumah tempat tinggal) yang tidak semuanya riang mahupun romantis.

Read more...

Cabaran yang belum tersahut

By Fahmi Fadzil

Nov 19 – Tiga senario mutakhir yang bagi saya mencerminkan perjalanan auh yang masih harus kita tempuhi sebagai satu Keluarga Besar Malaysia untuk menzahirkan Bangsa Malaysia.

Pertama. Sewaktu saya membaca laman web Malaysian Insider yang bercerita tentang terhakisnya sambutan terhadap Anwar Ibrahim di kalangan masyarakat Melayu ('Pakatan moving to assure Malay voters’, 18 Nov 2008).

Rencana ini bercerita tentang bagaimana Pakatan Rakyat (PR) baru-baru ini menandatangani satu surat persefahaman yang menyatakan pendirian PR terhadap hak-hak kaum Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan tetap akan dipertahan. Mengikut rencana ini, surat ini menandakan berjayanya kempen Umno untuk melahirkan rasa syak-wasangka dikalangan kaum Melayu terhadap PR sekiranya PR berjaya membentuk kerajaan pusat.

Read more...

Harapan Kita

NOV 12 - Mac 8. November 4. 2008 ternyata sungguh bermakna untuk kita. Dari sudut makronya, dua pentas besar politik (yang satunya dalam negara, manakala yang lainnya di Amerika Syarikat) menunjukkan satu gelombang perubahan yang amat besar lagi mustajab: kemunculan semula blok pengundi muda sebagai blok yang amat (apakah paling?) berpengaruh.

Tak percaya? Lihat sahaja komentar sedia ada di laman-laman web berita. Malah kita sendiri sedia tahu betapa hebatnya kempen politik pihak underdog (yakni parti-parti PKR, DAP dan PAS di Malaysia; parti Demokrat di AS) - menghadapi jentera-jentera yang pada mulanya kelihatan lebih besar dan menakutkan, tetapi akhirnya keperkasaannya terbukti tewas (walaupun tidak secara menyeluruh) ditangan pengundi.

Antara punca utama gerakan perubahan ini ialah terpecahnya hegemoni media daulah bukan sahaja dengan kebangkitan Internet, tapi dengan kemajuan Internet Web 2.0, di mana seseorang itu bukan sahaja menjadi konsumer makluat, tetapi turut menjadi penjana maklumat.

Read more...

Sponsored Links